Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli meragui tindakan kerajaan menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20sen mampu mengatasi masalah ekonomi.

Beliau sebaliknya mencadangkan agar subsidi petrol dan diesel kepada sektor korporat termasuklah subsidi kepada penjana tenaga bebas (IPP) dipotong terlebih dahulu.

"PKR bertegas bahawa kita menentang sebarang kenaikan harga minyak selagi subsidi korporat (dalam bentuk subsidi gas kepada industri dan penjana bebas) tidak distrukturkan semula.

"Adalah tidak adil menghukum rakyat kebiasaan yang sudah pun bergelut dengan kesempitan kewangan sedangkan kroni dan sektor korporat tidak disentuh langsung," kaya Rafizi dalam kenyataannya.

Memetik perangkaan yang dikeluarkan laporan Kajiselidik Belanja Isi Rumah Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) bagi tahun 2009/2010, Rafizi berkata kenaikan harga minyak paling memberikan kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Pola penurunan sejak Dis 2010
Menurutnya, golongan berpendapatan bulanan di antara RM500 dan RM2000 menggunakan 22 hingga 35 peratus belanja isi rumah untuk petrol dan diesel.

"Oleh itu, kenaikan harga minyak sudah tentu menekan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana kerana jumlah tanggungan tambahan setiap bulan adalah besar berbanding pendapatan bulanan mereka," katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan kenaikan minyak ini memandangkan minyak mentah antarabangsa menunjukkan pola penurunan harga sejak kali terakhir ia naik pada Disember 2010.

"Sepatutnya pola penurunan itu memungkinkan kerajaan berjimat kerana belanja subsidi petrol dan diesel stabil.

"Peluang itu disia-siakan dan sebaliknya akibat keborosan, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel pada ketika harga minyak mentah dunia menunjukkan penurunan dalam tempoh 2 tahun yang lepas," katanya.